Gara-gara ‘ayam rendang tidak rangup’, netizen serang YouTube MasterChef

Gara-gara 'ayam rendang tidak rangup', netizen serang YouTube MasterChef

SEBUAH portal gaya hidup hari ini memaparkan kisah tukang masak Zaleha Kadir Olpin yang tersingkir daripada pertandingan MasterChef UK kerana ayam rendangnya tidak rangup dan garing.

Gara-gara laporan itu, akaun YouTube MasterChef diserbu ramai netizen dari Malaysia yang meninggalkan komen dan berpendapat penyingkiran Zaleha itu tidak adil.

Dalam episod yang disiarkan saluran BBC pada 25 Mac itu, Zaleha memilih juadah nasi lemak bersama rendang ayam untuk dimasak, yang disifatkan sebagai juadah yang sangat istimewa.

“Saya masih ingat, ketika kecil, saya selalu membeli nasi lemak di sebuah gerai yang berharga 20 sen, tetapi itulah nasi lemak yang paling sedap di dunia!

“Ketika saya bawa pulang suami saya ke Malaysia untuk bertemu keluarga, nasi lemak adalah juadah yang dimasak ibu saya untuknya. Dia ‘hampir mati’ kerana ia sangat pedas,” kata Zaleha sambil ketawa.

Bagaimanapun, Zaleha tersingkir apabila ayam rendang yang dimasaknya dinilai sebagai tidak rangup oleh juri.

“Ayam tidak rangup, ia tidak boleh dimakan,” kata salah seorang juri, Gregg Wallace.

Rakyat Malaysia memenuhi ruangan komen akaun YouTube MasterChef UK, dengan mempersoalkan kredibiliti juri yang dipilih.

“Apa kriteria untuk menjadi juri? Anda tidak layak jika tidak tahu menghormati cara masakan bangsa lain,” kata Nurul Hamzah.

“Jika anda datang Malaysia dan beritahu mak cik-mak cik di sini ayam rendang perlu rangup, anda pasti akan kena tampar,” kata seorang lagi netizen dengan nama pengguna DL.

Menurut laporan The New Straits Times, Zaleha, 48 tahun, yang berasal dari Kuantan, Pahang kini menetap di Bristol, UK bersama suami dan dua anak perempuan mereka.

Sumber Astrowani

Admin

Bekerja sendiri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *