High dependency unit

Malam itu aku jaga enam orang pesakit di wad ini. Wad jagaan rapi ibu-ibu mengandung. Banyak dari mereka adalah kes kritikal yang perlukan pantauan.

Sedang di kaunter.
“Doktor. Patient bed 2 tu complain contraction makin kuat lah”

Sambil jururawat tunjukkan carta kontraksi pada aku. Memang, dari kontraksi 1:10 (satu kontraksi dalam sepuluh minit) menjadi 2:10 (dua kontraksi dalam sepuluh minit), sudah dua bacaan.

Aku telan air liur.
Pesakit ini mengandung 37 minggu, dan yang menyebabkan dia ditahan di wad tersebut adalah dia diserang denggi (recovery phase), dengan bacaan platlet 30.

Baca : platlet adalah sejenis sel darah untuk bantu bekukan darah. Tanpa platlet, darah sukar membeku menyebabkan pendarahan sukar berhenti.

Aduh.
“Kita dah ada platlet stock ke?”

Aku dah berkira-kira pesakit ini akan bersalin.
Pantas aku menuju ke arah pesakit. Wajahnya gelisah. Sekejap ke kiri dan kanan.

Sah. Sah dah. Dia nak bersalin ni.

Aku ambil gloves untuk periksa bukaan jalan.
Alamak.
7cm.

Masa tu aku terus aktifkan danger alert aku.
“Kak, kita kena tolak dia pergi labour room ni! Dah 7cm. Gravida 4 pulak tu. Platelet low. Boleh bleeding teruk”

“Akak prepare fail dia n prepare nak tolak patient eh. Saya nak pergi labour room inform”

Aku separa berlari ke labour room di sebelah (HDW dan labour room bersebelah, ada laluan yg menghubungkan terus)

Masuk labour room.
Aku lihat keadaan seperti tongkang pecah.
Serius.

Ada dua doktor di labour room. Seorang masuk pembedahan kecemasan (emergency caeser).

Aku tercari-cari MO untuk inform. Aku lihat seorang sedang conduct twin delivery (sambut kelahiran kembar), seorang sedang attend pesakit yang perlu divacuum. Pakar juga ada di situ. Suasana hingar bingar seperti pasar. Ada yang minta pertolongan, ada yang beri arahan.

Midwive juga semuanya sedang attend patient (labour room ada dalam 15 bilik dan hampir penuh).

Peluh mula mengalir deras di pipi aku.
Tapi aku tahu aku harus beritahu. Pesakit aku, platlet 30, mahu bersalin. Dan aku perlu minta stok platlet segera dari pusat darah negara.

Aku masuk dalam bilik yang hingar tadi.
“Boss. Saya nak tolak satu patient dari HDW. Os 7cm, dengue fever recovery phase, platlet 30”

Mo yang dengar minta aku tolak terus pesakit ke labour room.

“Please get platelet for her now”
Pakar mengarahkan aku.

Aku bergegas berlari ke HdW dan meminta pesakit untuk ditolak segera. Kemudian aku mula telefon pusat darah negara untuk dapatkan platlet.

Suasana di labour room semakin hingar dengan kehadiran pesakit aku ke situ.

“Platelet 30. Dah dapat ke platlet?”

“Os full!”

“Mana platlet? Patient boleh bleeding!”

Aku rasa hampir pengsan semasa situasi ini berlari ke sana ke mari.

Aku masih ingat malam tu.. sangat eventful sampai MO dari bangunan bertentangan yang oncall di wad gynae pun datang berikan bantuan.

.

Setiap kali kerja di o&g (sakit puan), memang akan adrenaline rush. Jantung sentiasa berdegup laju. Masa aku kerja pulak, banyak sangat benda yang berlaku.

Kita sangat takut.
Sebab kita tahu kita bermain dengan nyawa manusia. Bukan satu. Tapi dua.

Aku masih ingat bagaimana kelam kabutnya aku bila seorang ibu datang ke PAC dengan kain batik yang basah berdarah (bleeding placenta praevia).

Yang masa tu memang MO pun berlari dari atas wad dan turun, dengan pantas tolak pesakit terus ke bilik pembedahan. Sebab? Uri di bawah dan berdarah. Macam mana nak push baby keluar? Kalau type 4 (tutup sepenuhnya lubang)? Kalau tak tertutup pun, you cant push some more. Akan lebih bleeding. Bleeding makin teruk? Ibu boleh mati.

Aku pernah assist, pendarahan selepas bersalin hingga berpuluh pek darah dimasukkan. Dan macam-macam cara dibuat untuk hentikan darah, akhirnya hysterectomy.

Aku pernah lihat bagaimana shoulder stuck (bahu sangkut), di mana perlukan satu team untuk keluarkan bayi. Mana tak cemas? Kau lihat bayi tu dengan lemah tak bermaya, tak dapat keluar (hanya kepala di luar) disebabkan bahu tersangkut di tulang pubis. Hanya menanti kita untuk membantu selamatkan nyawanya.

Aku pernah lihat bagaimana seorang ibu collapse ketika meneran (ibu tidak sedarkan diri), CPR commenced, anak divacuum keluar, keadaan tak ubah seperti kapal pecah. Red alert. Semua team turun padang. Masih jelas raungan si suami ketika dimaklumkan isteri meninggal dunia. Suasana mendung dan hiba. But we know we’ve tried our best dan Allah telah menyelamatkan anaknya.

Aku pernah lihat cord prolapse ditolak ke bilik bedah sekelip mata, kerana 30 minit pertama adalah golden minutes untuk nyawa si bayi. Terputus bekalan oksigen (tali pusat yang berisiko ditekan) bukanlah satu perkara main-main kerana ia akan membunuh si anak atau mencacatkan dia selamanya.

Tak termasuk pesakit yang sawan tiba-tiba, yang collapse dan caeser di wad (perimortal caeser), yang bleeding tanpa henti, yang terbersalin di PAC, yang baby born flat, dan segala jenis yang mendebarkan dada kerana apa yang kita lihat saban hari itu adalah antara hidup dan mati seorang ibu dan anaknya..

Dan hari ini, bila doktor raise awareness tentang bahaya itu dan ini, masyarakat umumnya lebih banyak melabel doktor dengan sombong, riak, takbur, yahudi, kafir, dan segala jenis tomahan yang terpaksa ditelan.

.

Saat ini aku di sektor klinik kesihatan,
Bukan sengaja untuk aku katakan,

“Puan, Hb low ni. 9 je. Kita takut bersalin nanti tumpah darah, bahaya puan”

Si ibu menjeling. Eleh doktor ni doa yang buruk2 pulak. Aku dah beranak ramai kot. Tak ada jadi apa-apa pun. Berlagak pandai.

Dia tak tahu, sebab kita pernah lihat bagaimana seorang ibu mati disebabkan pendarahanlah hari ini, kita berasa mesti menasihatkan.

.

“Puan, sekarang baby songsang. Saya kena rujuk ke doktor pakar untuk ecv (pusingkan bayi) atau jika tak pusing juga, terpaksa pembedahan”

Si ibu meminta untuk tunggu dan lihat dahulu. Kenapa, doktor tak percaya ke pada kuasa Allah untuk pusingkan bayi ini? Atau jika songsang pun, takkanlah tak boleh bersalin normal?

Dia tak tahu, kita pernah lihat bagaimana bayi yang dilahirkan songsang mati atau cacat disebabkan cord prolapse (tali pusat jatuh dahulu) dalam kes footling breech, atau kepala tersangkut (head entrapment) ketika badan sudahpun keluar keseluruhannya. Anak itu boleh mati atau cacat seumur hidupnya.

Dan disebabkan inilah doktor-doktor begitu ‘care’ hingga dituduh yahudi pun kami tetap menasihatkan.

.

“Puan saya lihat uri puan agak ke bawah. Saya akan rujuk hospital untuk susulan”

“Tak rujuk tak boleh ke doktor”

Ada pula yang placenta praevia type 4, berkeras mahu bersalin normal. Puas diterangkan bagaimana mahu normal sedangkan uri menutup pangkal rahim sepenuhnya? Tidakkah dia tahu bagaimana pendarahan teruk seperti yang aku saksikan dulu, akan membunuhnya?

Namun bila dinasihat, banyaknya doktor yang dimaki semula..

.

Serius.

Kalaulah semua doktor atas muka bumi ini pentingkan diri,
Maka tak perlu pun mereka nak peduli pesakit mahu buat keputusan apa, mahu hidup atau mati, mahu memudaratkan diri sendiri, itu bukan soal kami.

Tapi,
Pernah fikir tak kenapa doktor bersungguh sangat educate people, nasihat, dan terangkan,

Walaupun apa yang mereka dapat sebagai balasan adalah maki hamun, tomahan dan pelbagai tuduhan?

Sebab mereka pernah lihat dengan mata kepala mereka bagaimana bernilainya sebuah nyawa.

Bagaimana luluhnya hati dan jiwa apabila kematian seorang manusia, bagaimana menyedihkan mendengar tangisan si suami, si isteri, si anak-anak, bagaimana hancurnya hati melihat itu semua.

Maka masakan mereka boleh diam membiarkan, sedangkan mereka tahu apa yang pernah membunuh dan mendatangkan kemudaratan, kematian?

.

Ketahuilah tak ada sekelumit pun portion untuk diri mereka (doktor) apabila mereka memperjuangkan kebenaran untuk kebaikan manusia.

Its not even for their sake.
Duit tak dapat lebih pun walau satu sen.

Tapi, menyedihkan apabila mereka (aku) kerap
dikata yahudi yang paling tak beriman sekali.

.

“Mama, sedihlah. Orang yang banyak tolak vaksin, yang nak beranak kat rumah, yang benci hospital, semuanya orang-orang ‘agama’. Depa kata sebab islam depa tak buat semua tu.. sedangkan islam tak ajar pun macam tu”

“Dalam quran, dah ajar kalau tak tahu, tanya. Tak tahu agama, tanya pada yang berilmu. Tak tahu sains, tanya pada yang belajar. Ilmu sains ni pun ilmu Allah jugak..”

“Islam ajar, kalau ada dua mudarat, pilih yang kurang mudarat. Memang dua2 tak baik, tapi pilihlah yang kurang mudarat di antara dua”

“Islam ajar tawakal tu bukannya biar semua benda kat Tuhan. Tapi, usaha, ikhtiar dulu. Tu kerja kita sebagai hamba.. kerja Allah, terpulang pada Dia”

“Orang selalu tuduh doktor berlagak Tuhan.. depa tak tau masa kami tengah CPR tu lah kami paling berdoa Allah datangkan keajaiban. Sebab Allah yang menghidup dan mematikan. Kami cuma buat kerja sebagai hamba, Allah akan buat kerja Dia”

“Sedihlah mama”

“Orang salah faham kat islam. Sedangkan islam lebih luas dari apa yang mereka perjuangkan. Semua dah ada dalam quran, dalam hadith. Cara hidup. Cara fikir. Cara buat keputusan..”

“Semua dah ada.. tinggal kita ja”

.

Memang dua tiga hari ini aku sedih,
Dengan apa yang berlaku.

Namun aku yakin,
Ada Allah yang sentiasa mengawasi kita, melihat dan mengira.
Kerana Allah tak pernah buta.

Maka aku akan terus beramal walau tidak dipuji malah dikeji, kerana imbalan bagiku hanyalah dari Allah.

Dan semoga berkat ilmu yang telah aku pelajari, kerna di samping seorang doktor, pertamanya aku adalah seorang murabbi yang harus memimpin ummat ini.

 

Sumber dari whatsapp group tanah ummah.

Admin

Bekerja sendiri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *