JDT tidak gentar berhadapan 70,000 penyokong Persija

JDT tidak gentar berhadapan 70,000 penyokong Persija

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) akan berdepan saingan sengit menentang Persija Jakarta di Stadium Gelora Bung Karno bagi menduduki tangga teratas Kumpulan H Piala AFC, malam ini.

Menurut laporan Fox Sports Asia, JDT bakal beraksi di hadapan 70,000 penyokong Persija yang dikenali sebagai ‘Jakmania’ yang memberi kelebihan terhadap tuan rumah.

“Kelebihan di pihak Persija mungkin kerana mempunyai sokongan daripada peminat mereka tetapi sebagai pemain bola, ia adalah bohong jika saya tidak rasa gementar bermain di hadapan orang ramai.

“Tetapi pada kami, ia tidak akan melunturkan semangat para pemain JDT kerana sudah biasa beraksi di depan penyokong seramai itu,” kata pemain pertahanan JDT, Aidil Zafuan.

Sementara itu, pengendali JDT, Raul Longhi berkata Pasukan Harimau Selatan yang sebelum ini hanya mampu mencatat keputusan seri bertemu Pahang dalam aksi suku akhir pertama Piala FA pada Jumaat lalu, kemungkinan besar akan mengalami perubahan dalam kesebelasan utama.

“Pengalaman seperti ini amat penting buat pasukan ini, terutamanya pada barisan pemain muda yang bakal diturunkan kerana mereka akan lebih yakin dan memberikan sepenuh tumpuan dalam perlawanan itu nanti,” tambahnya.

Namun, Longhi tetap mahu pasukannya berwaspada dengan ancaman Persija kerana mereka merehatkan beberapa pemain utama aksi Liga 1 Indonesia baru-baru ini.

Selain itu, Aidil juga menganggap berhadapan dengan pemain penyerang pihak lawan, Kroasia Marko Simic juga merupakan ujian besar seperti yang telah disangka oleh Longhi.

“Saya tahu Persija tidak menurunkan Marko Simic semasa perlawanan di Larkin dan kami juga tahu dia adalah penyerang terbaik bagi kelab Persija.

“Tetapi kami mahu memenangi perlawanan ini bagi memastikan JDT menjadi juara kumpulan Piala AFC,” jelas Aidil.

Pada pusingan pertama, JDT berjaya menundukkan Persija dengan keputusan 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 14 Februari lalu.

Bagaimanapun, Pasukan Harimau Selatan bakal bertemu Song Lam Nghe An dalam perlawanan kumpulan terakhir pada 24 April nanti.

Sumber Astroawani

Admin

Bekerja sendiri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *