Kuat berdengkur? Awas, ini mungkin puncanya!

Kuat berdengkur? Awas, ini mungkin puncanya!

ADAKAH anda kuat berdengkur? Kerap sakit kepala di waktu pagi atau sering rasa mengantuk melampau pada siang hari?

Jika anda mengalami simptom-simptom berkenaan, anda mungkin mengidap Obstructive Sleep Apnoea (OSA).

Juga dikenali sebagai “Sleep Apnea” atau apnea tidur, ia adalah keadaan yang berlaku bila seseorang kerap berhenti bernafas ketika tidur.

Apnea tidur adalah masalah tidur yang serius yang mampu menjejaskan pernafasan dan mengganggu tidur seseorang.

Sekiranya tidak dirawat, ia boleh mengundang kepada risiko tekanan darah tinggi, serangan jantung dan angin ahmar.

Sempena Hari Tidur Sedunia 2018 yang disambut setiap 16 Mac, mari ketahui lebih lanjut tentang apnea tidur:

Punca

Masalah kegemukan, leher pendek dan besar selain dagu yang bersaiz kecil antara punca penyebab apnea tidur.

Faktor lain termasuk tonsil yang besar di bahagian tekak, bentuk batang hidung yang bengkok, bahagian dalam hidung yang bengkak dan lelangit lembut yang berkedudukan rendah.

Selain itu, alkohol juga boleh menyebabkan otot bahagian tekak kendur serta menghalang otak dari bertindak terhadap masalah berpunca daripada tidur.

Pengambilan ubat-ubatan seperti pil tidur dan ubat penenang, selain tabiat merokok juga mendorong kepada apnea tidur.

Gejala

Berdengkur dengan kuat serta mengantuk di waktu siang. Pasangan mengadu bahawa anda berhenti bernafas semasa tidur.

Pada amnya, seseorang yang menghidap apnea tidur berdengkur dalam tidur, tetapi tidak semua yang tidur berdengkur menghidap apnea tidur.

Gejala-gejala lain termasuk kerap berubah posisi semasa tidur, rasa lemas semasa tidur, rasa mengantuk, letih dan lemah di siang hari dan sakit kepala di waktu pagi.

Penyakit ini tiga kali lebih banyak melibatkan lelaki daripada perempuan pada usia melebihi 30 tahun.

Rawatan

Kurangkan berat badan adalah cara paling efektif dan paling murah terutamanya mereka yang mengalami lebih berat badan. Doktor menyarankan penurunan 10 peratus berat badan sudah cukup untuk menurunkan gejala apnea tidur.

Posisi tidur yang paling baik ialah tidur mengiring di sisi untuk mengurangkan dengkuran. Ada beberapa teknik yang boleh digunakan termasuk menjahit bola tenis di belakang baju tidur atau tidur menggunakan beg sandang belakang (backpack) supaya kekal tidur mengiring di sisi.

Anda juga boleh memakai ‘mouthguard’ atau alat untuk menghalang lidah daripada menyumbat salur pernafasan. Pembedahan boleh dilakukan untuk mengatasi masalah sumbatan pada hidung atau tekak.

Komplikasi

Pesakit yang menghidap masalah apnea tidur mempunyai risiko tinggi terhadap kemalangan jalan raya, darah tinggi, serangan sakit jantung dan angin ahmar.

Pencegahan

Apnea tidur dan masalah berdengkur boleh diatasi dengan mengelakkan pengambilan alkohol, dan ubat-ubatan seperti pil tidur, ubat penenang yang boleh memperlahankan kadar pernafasan.

Sentiasa bersenam dan jaga pemakanan serta kekal berat badan unggul.

Rawat masalah pernafasan seperti hidung tersumbat atau selesema kerana ia menyebabkan berdengkur bertambah teruk.

Amalkan waktu dan cara tidur yang betul.

Sumber Astroawani

Admin

Bekerja sendiri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *