Majalah Komik 80 dan 90-an Paling Diingati

Majalah Komik 80 dan 90-an Paling Diingati

Jika ditanya pada zaman sekarang apakah komik, majalah dan novel kegemaran anda, pastinya ramai yang mengambil masa untuk membuat keputusan.

Tidak dinafikan segelintir daripada anda mempunyai jawapan tersendiri. Namun, kita tidak boleh menolak hakikat budaya membaca menerusi bahan bacaan konvensional semakin merudum jatuh.

Malah, pada tahun lalu juga dianggap sebagai ‘penderitaan’ industri buku dan percetakkan apabila hampir 20 kedai dan penerbit buku dilaporkan tutup membabitkan 277 individu hilang pekerjaan.

Lebih menyedihkan, jualan buku digital atau ebook juga tidak mendapat perhatian di Malaysia.

Namun, di sebalik kejatuhan ini, apa kata kita mengimbas kembali detik manis yang mana bahan bacaan tidak kiralah novel, komik dan majalah menjadi peneman mengisi masa lapang.

Anda mungkin teringat detik indah seperti menunggu bapa habis membaca surat khabar atau ibu membaca bahagian hiburan setiap kali pada hujung minggu.

Membeli komik atau majalah setiap kali menaiki bas awam ataupun hanya untuk mendapatkan poster artis kegemaran.

Malah, tidak kurang juga yang membeli majalah atau surat khabar kerana mahu menyertai peraduan.

Rojak Daily Skop! senaraikan 10 bahan bacaan kegemaran golongan 80 dan 90-an yang mungkin dirindui ramai:

1. BAMBINO – MAJALAH KANAK-KANAK NASIONAL

Antara majalah komik terawal.

Antara majalah komik terawal.

Kita mulakan dengan era 80-an yang mana ketika itu antara majalah paling popular adalah Bambino.

Pasti ramai yang menggaru kepala memikirkan bilakah tahun majalah ini dikeluarkan kerana ia tampak begitu ‘old skool’.

Sebenarnya, ia diterbitkan oleh Penerbitan Suarasa pada tahun 1972 sebelum disambung oleh Creative Enterprise Sdn. Bhd.

Majalah ini membawa tema berhibur sambil belajar dan turut menampilkan gaya penceritaan ala komik.

Malah, ia diterajui oleh pelukis kartun terkenal ketika itu seperti Rizalman, Mishar, dan Rosdin.

2. KUNTUM

Antara yang popular dalam kalangan murid sekolah.

Antara yang popular dalam kalangan murid sekolah.

Majalah ini membuktikan mereka masih relevan sehingga hari ini kerana terdapat versi Kuntum digital.

Untuk makluman anda, Kuntum merupakan majalah pendidikan kanak-kanak dwibahasa untuk pelajar sekolah rendah.

Majalah pertama ini dilancarkan pada Februari 1980 dan tahun ini genaplah usia 38 tahun penerbitan majalah di bawah Star Publication (M) Berhad.

Majalah bulanan Bahasa Malaysia yang dijual pada harga RM2.00 senaskhah ini disasarkan kepada golongan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.

3. UJANG, APO, GILA-GILA

Lagenda dalam industri komik Malaysia.

Lagenda dalam industri komik Malaysia.

Tiga majalah ini barangkali telah mencorak satu ‘budaya’ membaca dalam kalangan kanak-kanak pada zaman 90-an. Ia antara yang mencetuskan fenomena dan menjadi kegilaan masyarakat ketika itu.

Menghimpunkan ramai kartunis lagenda seperti Datuk Lat, Rejabhab, Jaafar Taib, Imuda dan Ujang sendiri, ketiga-tiga majalah ini menjadi medan untuk kartunis berkarya menyampaikan mesej berbentuk cerita rakyat.

Kebanyakan lawak disampaikan begitu dekat dengan pembaca dan sebab itulah ia digilai semua lapisan masyarakat.

Ada diantara majalah komik ini dijual mencecah RM5,000.

4. MASTIKA

Majalah paling seram di Malaysia!

Majalah paling seram di Malaysia!

<
Jika anda fikir Kuntum adalah majalah paling lama bertahan, anda mungkin tidak percaya Mastika sebenarnya sudah berusia 77 tahun.

Majalah yang diterbitkan secara bulanan ini diterbitkan pada 1 Jun 1941 memfokuskan kisah seram yang dekat dengan budaya, pemikiran dan kepercayaan masyarakat.

Malah, majalah ini memegang rekod majalah paling laris selama 10 tahun berturut-turut.

Tanyalah pada individu yang bergelumang pada tahun majalah ini popular, pastinya mereka mempunyai ratusan koleksi mastika!

Selain saiznya yang kompak, kepelbagaian kisah misteri di dalam ini juga menarik perhatian ramai.

Hanya satu majalah mampu menemani perjalanan anda dalam tempoh yang lama. Bahkan, majalah ini jugalah yang melahirkan insan-insan yang penakut barangkali.

5. ANAK-ANAK SIDEK

Kegemilangan sukan badminton pastinya dirasai ketika ini.

Kegemilangan sukan badminton pastinya dirasai ketika ini.

<
Pada anda yang bersekolah sekitar tahun 1995 hingga 2015 pastinya mengenali rapat dengan majalah ini kerana ketika itu ia laris dijual di kedai buku sekolah.

Komik ini adalah satu gambaran autobiografi jaguh badmintion keluarga Datuk Sidek Abdullah Kamar.

Menariknya, komik ini adalah yang pertama membawa bentuk autobiografi sehingga ia diterbitkan dalam bentuk animasi yang ditayangkan di RTM.

Kisah Anak-Anak Sidek ini sekali gus membawa semangat kesukanan dalam arena badminton ketika itu.

Zaman sekarang mungkin lebih mengenali Datuk Lee Chong Wei berbanding keluarga Sidek.

6. ASUH, ANA MUSLIM, TUNAS SAINS

Majalah komik muslimah

Majalah komik muslimah

Ketiga-tiga majalah ini antara yang popular dalam kalangan murid sekolah rendah. Sama seperti Anak-Anak Sidek, majalah komik ini juga banyak dijual di kedai buku sekolah.

Asuh dan Ana Muslim menyasarkan pembaca sekitar umur 5 hingga 14 tahun.

Biarpun watak dan grafik lebih menjurus kepada golongan perempuan, siapa boleh lupa watak syaitan yang amat popular ketika itu!

Ada pembaca membeli semata-mata untuk membaca siri syaitan berkenaan.

7. GALAXIE, HYPE, UTOPIA, GEMPAK

Siapa tengok poster sebelum beli kita geng!

Siapa tengok poster sebelum beli kita geng!

Empat majalah ini mendominasi bahagian hiburan dan juga komik sekitar tahun 1998.

Galaxie dibawah penerbitan Star Publications Sdn Bhd manakala Hype, Utopia, Gempak di bawah Gempak Starz.

Galaxie lebih dikenali sebagai majalah yang lebih besar dan sering kali memberi poster secara percuma kepada pembacanya. Ia bukan suatu yang pelik apabila pembaca akan melihat dulu poster yang diselitkan dalam majalah tersebut sebelum membelinya.

Kandungan Galaxie juga lebih kepada artis antarabangsa berbanding tempatan. Begitu juga Utopia dan Hype.

Gempak pula lebih kepada komik dan permainan video, animasi dan filem.

8. MANGGA

Edisi raya pastinya lebih 'tertutup'.

Edisi raya pastinya lebih ‘tertutup’.

<
Keluaran Utusan Karya Sdn Bhd ini pastinya terkenal dengan slogan ‘berenang baik untuk kesihatan’ dalam kalangan pembaca.

Majalah ini antara majalah hiburan paling popular dengan memaparkan pelbagai infomasi berkaitan industri hiburan dan gosip ‘panas’ artis tempatan.

Selain itu, Mangga juga popular kerana memaparkan aksi dan gambar artis yang agak seksi hingga menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat.

9. DRAGON BALL, DETECTIVE CONAN, DORAEMON

Siri penyiasatan paling popular. Awaklah pembunuhnya!

Siri penyiasatan paling popular. Awaklah pembunuhnya!

Sebenarnya, banyak lagi komik yang popular ketika era ini tetapi ketiga majalah komik ini antara yang paling menyerlah.

Setiap bulan komik ini akan muncul dengan siri terbaru, sekali gus menjadikan ia antara koleksi berharga ketika itu.

Melihat gambar ketiga komik ini pastinya ramai yang merindui setiap helaian bau kertas yang digunakan pada komik ini bukan?

Mungkin anda boleh cuba cari di kedai buku atau secara atas talian.

10. KOMPOSER NADA DERING NOKIA

Awas! Salah tekan, maka sumbanglah lagu nada dering anda.

Awas! Salah tekan, maka sumbanglah lagu nada dering anda.

Sebelum wujudnya nada dering MP3, pengguna terlebih dahulu didedahkan dengan anda dering monophonic sebelum beralih kepada polyphonic.

Dengan menggunakan papan kekunci asli yang wujud pada telefon bimbit Nokia contohnya, pengguna boleh mencipta lagu secara manual.

Malah, dengan bantuan buku monophonic yang dijual di kedai buku, maka penuhlah telefon dengan nada dering yang pelbagai.

Skil yang tinggi amat diperlukan ketika itu kerana salah nombor maka sumbanglah nada dering anda.

Kesemua ini pastinya akan dikenang sampai bila-bila. Jangan menangis ya.

Sumber dari rojakdailydotcom

Admin

Bekerja sendiri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *