Piala AFC: JDT Kecundang Di Vietnam

Foto: Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR: Krisis dalaman membawa kesan negatif kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kalah 2-0 kepada kelab Vietnam, Song Lam Nghe An dalam saingan Piala AFC 2018 di Stadium Vinh, Vinh Rabu malam.Susulan peletakan jawatan pengendali  Ulisses Morais tempoh hari, skuad pengendali sementara Raul Longhi nampak hilang arah tuju apabila beberapa pemain import tidak diturunkan pada aksi kedua Kumpulan H itu.

Dalam pada itu, keadaan bertambah parah  apabila penyerang sensasi, Jorge Pereyra Diaz meninggalkan kelab secara senyap dari hotel penginapan di Singapura ketika dalam perjalanan ke Vietnam, semalam.

Kelab Vietnam itu membuka jaringan menerusi Phan Van Duc pada minit ke-22 dan kedudukan itu kekal sehingga babak pertama perlawanan.
Pada babak kedua, JDT, selaku juara Liga Super empat kali, mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma penyerang import dari Argentina, Luciano Figueroa pada minit ke-82 namun tidak berjaya.

Song Lam Nghe An berjaya meraih enam mata penuh daripada dua perlawanan, apabila Pham Xuan Manh menggandakan jaringan menerusi serangan balas pantas pada penghujung perlawanan, menurut laman web rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), www.the-afc.com.

JDT seterusnya akan beraksi menentang Tampines Rovers di Singapura, manakala Song Lam Nghe An akan menerima kunjungan wakil dari Indonesia Persija Jakarta.Kedua-dua perlawanan akan berlangsung pada Selasa depan.

Sebagai rekod, ketua jurulatih JDT, Morais meletak jawatan atas sebab masalah kesihatan keluarganya, tiga hari lalu.- Bernama

Sumber Mystardotcom

Admin

Bekerja sendiri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *