Saya pulangkan sebab saya tahu itu bukan duit saya – Keng Keong

Saya pulangkan sebab saya tahu itu bukan duit saya - Keng Keong

KAMPAR: ”Mana tahu dia nak guna duit itu untuk ke hospital,” komen ringkas Cheah Keng Keong, seorang insan berhati mulia yang nekad mengembalikan wang tunai RM4,000 yang ditemuinya Jalan Batu Sinar, dekat Bandar Baru Selatan dekat sini petang Selasa.

Keng Keong,48 yang bekerja sebagai pemungut bahan kitar semula berkata, dia pada mulanya tidak menyangka akan terjumpa duit sebanyak itu.

Katanya, duit itu ditemui ketika menunggang motosikal untuk ke setesen minyak bersama anak perempuannya.

Dia menghentikan motosikal selepas ternampak beberapa keping wang kertas RM5 di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sentosa, berhampiran Bandar Baru.

Bapa kepada lima anak itu berkata, penemuan itu seterusnya membawa kepada penemuan sebuah beg silang yang mempunyai wang tunai yang agak banyak.

”Saya terus memberitahu perkara itu kepada anak perempuan saya dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar untuk buat laporan polis dan menyerahkan beg yang mengandungi kad pengenalan, dokumen peribadi, dompet serta wang tunai.

”Saya tak tahu berapa banyak duit dalam beg itu tetapi saya tak nak sebab bukan saya punya.

”Saya orang susah, saya tahu perasaan memerlukan duit,ā€¯katanya ketika dihubungi Astro Awani hari ini.

Keng Keong berkata beliau agak terkejut apabila mengetahui jumlah wang di dalam beg tersebut bernilai RM4,000 namun sedikit pun beliau tidak teragak-agak untuk menyerahkannya kepada polis untuk dikembalikan kepada pemiliknya.

”Saya mungkin miskin, keluarga pun makan sederhana tetapi saya tak boleh tamak, saya beritahu anak saya, kita tak boleh ambil hak orang lain.

”Lagi pun,saya kena jadi contoh yang baik kepada keluarga saya,saya harap pemilik dia tak susah hati,” katanya merendah diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata pihaknya menerima laporan berkenaan pemulangan semula wang tunai itu sekitar pukul 1.30 tengah hari Selasa.

”Keng Keong berasa amat risau ketika terjumpa beg itu sekitar 1.20 tengah hari dan segera ke balai polis untuk menyerahkan kesemua wang tunai.

”Mujur, kita dapat mengesan semula pemilik beg dan wang tunai itu iaitu seorang guru di Sekolah Agama Rakyat di Tapah dan telah memberitahu beliau untuk datang ke IPD Kampar agar kita boleh memulangkan semula beg itu,” katanya kepada pemberita.

Kong Soon berkata sikap Keng Keong yang amat terpuji dan penuh amanah ini perlu menjadi contoh kepada seluruh rakyat Malaysia.

”Walaupun dia serba serbi kekurangan, dari segi ekonomi dan sebagainya, dia tetap berpegang kepada prinsipnya iaitu seorang yang jujur dan kami bercadang untuk memberikan sijil penghargaan sempena Hari Polis kelak,” ujarnya lagi.

Sumber Astroawani

Admin

Bekerja sendiri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *