TMJ Dirayu Tidak Letak Jawatan

PETALING JAYA: Keinginan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mendorong pelbagai pihak tampil menyuarakan pandangan termasuk Exco persatuan itu.Selain dua naib presiden persatuan itu, ada dalam kalangan majlis sukan yang senada tidak bersetuju dengan hasrat TMJ itu.

Naib Presiden FAM, Datuk S.Sivasundaram dan Datuk Ab Ghani Hassan masing-masing mengakui Tunku Ismail telah banyak mengubah landskap bola sepak tanah air.

“Sebelum ini setiap pasukan Liga Super dan Liga Premier masing-masing hanya menerima RM1 juta dan RM500,000 setahun.

“Tapi tidak sampai setahun DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menjadi presiden FAM, nilai berkenaan berjaya dinaikkan kepada RM3 juta untuk pasukan Liga Super dan RM1 juta untuk pasukan Liga Premier. Tanpanya, mustahil ia dapat direalisasikan.

“Bukan senang sebenarnya untuk kita mencari seorang individu yang memberikan sepenuh jiwanya terhadap bola sepak iaitu sentiasa mahukan penambahbaikan dari sehari ke sehari dengan idea-idea baharu seiring dengan perkembangan bola sepak moden.

“Bagi saya, hanya Tunku Ismail memiliki ciri-ciri berkenaan untuk terus bergelar presiden FAM, bukan hanya bagi tempoh setahun, malah untuk jangka panjang bagi menampakkan kesinambungan terhadap apa yang baginda sedang usahakan ketika ini,” jelas Sivasundaram.

Rayuan

Manakala Ab Ghani pula merayu supaya perancangan Tunku Ismail itu tidak menjadi kenyataan.

“Rayuan saya supaya Tunku Ismail tidak meletak jawatan.

“Sebagai Presiden FAM, Tunku Ismail telah memainkan peranan cukup besar untuk mengubah landskap bola sepak negara.

“Bukan saja telah mula memperbaiki struktur bola sepak negara terutama dalam meningkatkan nilai Liga Malaysia, malah kini sedang berusaha memastikan Malaysia berada dalam kalendar penganjuran kejohanan antarabangsa bermula dengan menjadi tuan rumah Kejuaraan B-16 AFC 2018 pada September ini dan membuat bidaan sebagai tuan rumah Kejuaraan B-23 AFC 2020,” jelasnya.

Majlis Sukan Tampil

Dalam pada itu, Majlis Sukan India Malaysia (MISC) secara rasminya memohon Tunku Ismail terus menerajui badan induk bola sepak negara.

“Kami Majlis Sukan India Malaysia sebagai ahli  gabungan dalam FAM berharap Tunku Ismail terus menerajui persatuan.

“Kami nampak bagaimana Tunku Ismail membawa perubahan dalam FAM, semua orang tahu pemimpin yang cekap untuk mentadbir bola sepak di Malaysia.

“Kami mahu Tunku Ismail terus menjadi presiden untuk meningkatkan mutu bola sepak negara,” ujar presiden MISC, Datuk R.Subramaniam dalam kenyataan pada Jumaat.

Sumber Mystardotcom

Admin

Bekerja sendiri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *